> Terus ke Info Sumbangan

Madrasah Diauddin ialah salah sebuah pondok yang ditubuhkan atas kesedaran sebilangan ahli jemaah Masjid Lubok Stol. Pondok ini telah ditubuhkan sekitar tahun 2000 di Kampung Gual Dalam Lubok Stol, Jajahan Pasir Mas.

Pengasas yang berjaya merealisasikan impian ini ialah al-Fadhil Ustaz Hj Abdullah Zawawi bin Muhammad dibantu oleh rakan karibnya Ustaz Hj Asek bin Omar selepas lama belajar di Pondok Pasir Tumboh.

Kisahnya bermula apabila AJK Masjid Lubok Stol bermuafakat untuk mewujudkan sebuah Pondok pada tahun 1996. Mereka kemudiannya membeli sebidang tanah seluas 3.75 ekar dengan harga RM27,500.00 sahaja. Pada tahun berikutnya, usaha mengumpulkan dana digiatkan setelah mendapat kelulusan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Dua tahun kemudiannya, iaitu pada bulan Mac 1998 batu asas diletakkan dan kerja secara gotong-royong dimulakan.

Sehinggalah pada 2 April 2000, pondok ini mula beroperasi dengan kehadiran pengasasnya sendiri sebagai Tuan Guru dengan 5 orang murid sahaja. Dengan terdirinya pondok ini maka bertambahlah bilangan pondok nagi jajahan Pasir Mas sebagai pusat pengajian bagi umat islam yang bukan sahaja sekitar jajahan ini malah seluruh negara termasuk Thailand.

Pondok ini adalah diantara pondok yang baru bernaung di bawah Pusat Pembangunan Pondok Berhad iaitu Persatuan Pondok Kelantan. Walaupun usianya baru menjangkau 9 tahun, namun ia berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan Pondok Terbaik Peringkat Negeri Kelantan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1430H yang lalu.

Mencari keredaan Allah serta menghapuskan kerosakan akhlak.
Melahirkan generasi berilmu, beramal, berani dan bertakwa.
Menjadikan Pondok sebagai pusat pengajian Islam secara teori dan praktikal.
Melahirkan pelajar mahir serta memahami secara mendalam ilmu agama dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

1. Ustaz Hj Abdullah Zawawi bin Muhammad - Mudir Pondok
2. Ustaz Hj Asek bin Omar
3. Hj Abdul Rahman bin Hj Hassan

Ilmu yang diajar adalah merangkumi semua ilmu agama termasuk ilmu Usuluddin, Fiqah, Ilmu Alat, Al-Quran, Al-Hadis, Nahu dan lain-lain. Semua kitab adalah kitab pondok (tradisional) sama ada di dalam bahasa Melayu jawi dan Arab. Antara kitab-kitab masyhur yang dipelajari ialah:

Pati Muniyatul Musaili
Pati Faridatul Faraid
Al-Muin Al-Mubin
Minhajul 'Abidin
Aqidatun Najin
Bughyatu at-Tullab

Dan kitab-kitab lain yang kebanyakannya dicetak di Patani, Thailand.

Sebuah masjid yang dapat menampung seramai 300 jemaah. Ia juga merupakan tempat pengajian di pondok ini.
Sebuah asrama pelajar lelaki iaitu bangunan asrama batu 2 tingkat yang dapat menampung 100 pelajar.
Beberapa buah pondok bagi pelajar dan warga emas.

Pelajar lelaki belia/remaja 50 orang
Dewasa/warga emas 30 orang
Berkeluarga 10 orang

Kami mengalu - alukan sebarang bentuk sumbangan yang ingin dihulurkan . Sumbangan yang anda ingin hulurkan , bolehlah ke akaun berikut :

03081020176949  Bank Islam

019-9559753 Ab. Rahman

019-9578612 Haji Lah